Purpose KSSR


      Dunia pendidikan mengalami perkembangan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi. Perkembangan ini juga menuntut perubahan dalam kurikulum. Seiringan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum.
Penggubalan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia berpaksikan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Standard ini menjujung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan negara, bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah. Standard ini turut menitikberatkan penggabungjalinan kemahiran bahasa, penyerapan ilmu dan nilai murni. Standard Kurikulum Bahasa Malaysia boleh dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu.
Pada asasnya, pembinaan kerangka standard ini berdasarkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Standard ini mengetengahkan pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran secara didik hibur bagi mencungkil potensi murid untuk meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Seterusnya, membolehkan murid memperkembangkan keupayaan dan penguasaan kemahiran bahasa, serta berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan.
Selain itu, aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah turut dijadikan landasan bagi membina keyakinan diri, mengetengahkan bakat, memupuk sifat kepemimpinan, dan ketokohan murid dalam pelbagai bidang. Aktiviti kokurikulum juga berupaya memantapkan penguasaan berbahasa murid serta menyokong pelaksanaan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia.

0 comments:

Post a Comment