Thursday, 17 November 2011

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)

MATLAMAT

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.
OBJEKTIF
Murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah berkeupayaan untuk:
  • mendengar, mengecam, mengajuk dan menentukan arah bunyi persekitaran dengan teliti dan betul; 
  • mendengar, memahami, dan menyebut bunyi bahasa iaitu abjad, perkataan, frasa dan ayat dengan betul; 
  • mendengar, memahami dan memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan dan pertanyaan dengan betul;
  •  bertutur dan berbual serta menyatakan permintaan tentang sesuatu perkara dalam situasi formal dan tidak formal dengan betul secara bertatasusila; 
  • bercerita sesuatu perkara dan menceritakan semula perkara yang didengar menggunakan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul; 
  • berbicara untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat secara bertatasusila; 
  • berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila; 
  • membaca pelbagai perkataan, frasa dan ayat secara mekanis dengan sebutan dan intonasi yang betul; 
  • membaca, memahami perkataan, frasa dan ayat daripada pelbagai sumber dengan lancar, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;
  •  membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat daripada pelbagai bahan untuk memberi respons dengan betul; 
  • membaca dan menaakul untuk memindahkan maklumat yang terdapat dalam pelbagai bahan. 
  • membaca pelbagai bahan bacaan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca; 
  • melakukan aktiviti pramenulis dengan betul; 
  • menulis secara mekanis dengan betul dan kemas; 
  • membina dan menulis perkataan, frasa dan ayat dengan betul; 
  • menulis imlak dengan tepat. 
  • mencatat dan menulis untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa yang santun; 
  • menghasilkan penulisan kreatif dalam pelbagai genre dengan betul; 
  • mengedit dan memurnikan hasil penulisan; 
  • menulis ulasan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber; 
  • menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan; dan 
  • menghayati dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.
            FOKUS
            Pada akhir pembelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah, murid dapat memperkaya kosa kata, mempertingkatkan pemahaman berbahasa dan menguasai bahasa serta berkomunikasi secara berkesan bagi menyampaikan pendapat, idea dan maklumat dalam pelbagai situasi pembelajaran, hubungan sosial dan kehidupan harian.


         SUSUNAN KANDUNGAN STANDARD
     KURIKULUM BAHASA MALAYSIA

          Standard Kurikulum
            Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem Bahasa yang disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.
            Standard ini digubal dalam bentuk pernyataan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid sekolah kebangsaan. Standard ini dipersembahkan dalam bentuk modular yang dibahagikan kepada bahagian dan unit yang mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran serta nilai murni yang perlu dikuasai oleh murid.

            Standard Kandungan
            Pernyataan tentang bidang ilmu yang patut diketahui dan dapat dilakukan oleh murid dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.


            Standard Pembelajaran 
            Pernyataan tentang penetapan kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan.

            Kemahiran Bahasa
            Kemahiran bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

            Kemahiran Mendengar
            Kemahiran mendengar merujuk keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan respons.

            Kemahiran Bertutur
            Kemahiran bertutur merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penekanan juga diberikan pada penggunaan tatabahasa yang betul.

            Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Di samping itu, murid juga berupaya menghayati teks yang dibaca.

Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk keupayaan murid menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan berunsur pengetahuan dan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa ini diperoleh melalui situasi dan konteks dalam pelbagai bahan prosa, puisi dan grafik.

Aspek Seni Bahasa
Aspek seni bahasa merujuk keupayaan murid memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur. Murid memperoleh bahasa yang indah secara didik hibur daripada teknik nyanyian, bercerita, berlakon dan berpuisi. Seni bahasa juga menampakkan keindahan bahasa dari segi pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personifikasi yang terdapat dalam puisi dan prosa kreatif. Idea yang kreatif dapat dilahirkan oleh murid melalui lisan dan penulisan.

Aspek Tatabahasa
Aspek tatabahasa merujuk keupayaan murid menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam konteks yang diajarkan secara terancang.

Sistem Bahasa
Sistem bahasa terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku. Penerangan bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah.

Tatabahasa
Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis.

Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah unit tatabahasa sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota yang lain dalam golongan yang sama.
a. Struktur kata merujuk pola suku kata bagi:
i. kata asli bahasa Melayu
ii. kata pinjaman bahasa Melayu
b. Bentuk kata terdiri daripada:
i. kata tunggal
ii. kata terbitan
iii. kata ganda
iv. kata majmuk
c. Proses pembentukan kata meliputi:
i. pengimbuhan
ii. penggandaan
iii. pemajmukan
Antara ketiga-tiga proses pembentukan kata ini, yang amat kompleks ialah pengimbuhan. Oleh itu, penekanan hendaklah diberikan pada aspek penggunaan imbuhan yang betul dari segi bentuk dan makna termasuk aspek baharu dalam proses pengimbuhan.
d. Golongan kata terdiri daripada:
i. kata nama
ii. kata kerja
iii. kata adjektif
iv. kata tugas

Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Hal ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Aspek sintaksis yang diberikan tumpuan adalah seperti yang berikut:
a. Unsur utama yang terdiri daripada kata, frasa, klausa, dan aspek pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat.
b. Jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan
c. Ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif
d. Susunan ayat, iaitu susunan biasa dan songsang
e. Binaan ayat;
i. ayat dasar
ii. ayat tunggal
iii. ayat terbitan atau ayat majmuk
f. Proses ayat terbitan:
i. proses penggantian
ii. proses pengguguran
iii. proses penyusunan semula
iv. proses peluasan.

Tanda Baca
Tanda baca penting dikuasai dalam komunikasi tulisan untuk memastikan keselarasan dan juga makna yang tepat. Misalnya, koma dan tanda noktah mewakili hentian dalam pertuturan. Penggunaan tanda baca yang betul dapat mewakili intonasi dalam bacaan dan penulisan.

            Sistem Ejaan
            Perkara yang diberikan penekanan ialah;
                i. Pola keselarasan huruf vokal
               ii. Ejaan kata pinjaman
              iii. Ejaan kata dasar dan kata terbitan

            Sebutan dan Intonasi
            Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang ditekankan ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.
            a. Sebutan
                 Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut sesuatu kata dengan betul. Sebutan
                 bahasa Malaysia yang diajarkan di sekolah hendaklah menggunakan sebutan bahasa
                 Melayu baku.
            b. Intonasi
                Intonasi ayat bahasa Melayu yang betul hendaklah diajarkan mengikut pola yang berikut:
                   i. ayat penyata
                  ii. ayat tanya
                 iii. ayat perintah
                 iv. ayat seruan
                 v. ayat terbalik atau songsang
                vi. ayat aktif
               vii. ayat pasif

            Kosa kata
            Kosa kata terdiri daripada kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu dipertingkat dan diperkembangkan agar murid dapat mengungkapkan maklumat dan buah fikiran selaras dengan penambahan ilmu dalam mata-mata pelajaran yang dipelajari di peringkat sekolah rendah.

            Peribahasa
            Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata-kata hikmat perlu diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
          
            Pengisian Kurikulum
            Elemen dalam pengisian kurikulum ialah ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah. Penerangan ringkas bagi setiap elemen seperti yang berikut:
  • Ilmu
Ilmu merangkumi pelbagai bidang ilmu dan disiplin, contohnya ilmu dalam bidang sains, dan geografi dapat digunakan untuk memperkembangkan ilmu bahasa dan kemahiran bahasa. Ilmu lain yang berkaitan dengan hal-hal semasa juga boleh dipertimbangkan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
  • Nilai Murni
Penyerapan nilai murni dalam kurikulum Bahasa Malaysia bertujuan melahirkan insan yang berketerampilan dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan murni dapat membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berkeperibadian luhur. Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni dalam masyarakat Malaysia harus dipupuk secara langsung atau tidak langsung selaras dengan nilai-nilai sejagat.
  • Kewarganegaraan
Penyerapan unsur patriotisme dan kewarganegaraan dalam pendidikan bahasa Malaysia mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat akan negara. Di samping itu, pemupukan unsur ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang mempunyai jati diri, cinta akan bahasa dan bangsa serta meningkatkan komitmen individu terhadap negara.
  • Peraturan Sosiobudaya
Peraturan sosiobudaya dalam kurikulum Bahasa Malaysia merangkumi kesantunan bahasa, laras bahasa dan peribahasa yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Peraturan sosiobudaya ini mencerminkan falsafah dan keperibadian masyarakat Malaysia.
  • Kemahiran Bernilai Tambah
Kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran yang diajarkan di dalam bilik darjah dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian murid. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah Kemahiran Berfikir, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kemahiran Belajar Cara Belajar, Kajian Masa Depan, Kecerdasan Pelbagai, Pembelajaran Konstruktivisme, Pembelajaran Kontekstual, dan kreativiti dan inovasi. Penerangan ringkas tentang kemahiran bernilai tambah dinyatakan seperti yang berikut:
  • Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui pelbagai aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir sama ada dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah, atau membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada masa depan.
  • Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi seperti mengaplikasikan perisian, menghantar dan menerima e-mel, mengakses, memproses, menyebar dan berkongsi maklumat serta berinteraksi sosial melalui Internet untuk meluaskan penerokaan ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.
  • Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan berkeupayaan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
  • Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Hal ini bermakna, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta menangani perubahan supaya mereka mendapat manfaat yang maksimum.
  • Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai dapat mengembangkan potensi kecerdasan, minat dan kecenderungan murid kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza. Kecerdasan pelbagai merangkumi kecerdasan verbal linguistik, logik matematik, muzik, kinestetik, visual ruang, interpersonal, intrapersonal dan naturalis.
  • Pembelajaran Konstruktivisme
Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang berkeupayaan untuk membina pemahaman dan pengetahuan baharu mereka sendiri berdasarkan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan seronok belajar sepanjang hayat mereka.
  • Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baharu secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dalam kehidupan mereka.
  • Kreativiti dan Inovasi
Kreativiti merujuk kepada kebolehan atau kemampuan individu untuk mencipta, menyelesaikan masalah, menggunakan daya imaginasi, idea kreatif untuk menghasilkan idea yang tulen, asli dan baharu bagi menghasilkan sesuatu yang objektif. Inovasi pula merujuk kepada proses menjana idea dan mengaplikasikan idea kreatif dalam konteks tertentu. Kreativiti dan inovatif saling berkait rapat bagi menghasilkan modal insan yang serba boleh dan berketerampilan. Daya kreativiti dan inovasi murid perlu dibangunkan ke tahap yang optimum supaya mereka berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan idea dan ciptaan yang berkualiti dan seterusnya menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan warga negara Malaysia pada masa hadapan.
  • Keusahawanan
Penyerapan elemen keusahawanan dalam kurikulum standard sekolah rendah bertujuan membentuk ciri-ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penyerapan elemen ini bukan sahaja merupakan pendekatan membudayakan keusahawanan, malah melibatkan proses pembentukan sikap yang perlu dimiliki oleh usahawan seperti pemikiran keusahawanan, kemahiran pengurusan perniagaan, aplikasi vokasional dan teknologi serta amalan nilai moral dan etika keusahawanan.
Penekanan Konsep 5P
Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia menekankan konsep penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian. Hal ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut adalah seperti yang berikut:

Penggabungjalinan
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

Penyerapan
Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, unsur ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin daripada mata-mata pelajaran lain.

Penilaian
Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Penilaian perlulah dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses penilaian berterusan segala kelemahan dapat dikenal pasti dan jenis tindakan susulan dapat diambil terhadap seseorang murid sama ada berbentuk pemulihan atau pengayaan.

Pengayaan
Program pengayaan perlu diberikan penekanan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

Pemulihan
Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

Pengajaran dan Pembelajaran Bertema
Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia diajar berdasarkan tema. Melalui pengajaran dan pembelajaran bertema kemahiran bahasa, pembelajaran tatabahasa dan pengembangan kosa kata dapat disepadukan dan dikukuhkan. Di samping itu, ilmu daripada mata pelajaran dan disiplin lain lebih mudah diserapkan. Bagi tujuan ini, perancangan dan penentuan tema pengajaran meliputi pelbagai bidang ilmu, hal persendirian dan isu kemasyarakatan, menghargai warisan, mencungkil daya kreativiti dan inovasi dalam diri murid serta isu-isu semasa. Cakupan tema yang ditekankan adalah seperti yang berikut:

Kekeluargaan
Tema kekeluargaan merangkumi hubungan sesuatu keluarga yang melibatkan keluarga asas dan keluarga kembangan. Tema ini diajarkan kepada murid-murid sekolah rendah agar menghargai setiap ahli keluarga.
Kemasyarakatan
Tema ini merujuk tanggungjawab individu dan kumpulan dalam kalangan pelbagai bangsa untuk mewujudkan keharmonian dan kepentingan hidup bersama. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
Kesihatan dan Kebersihan
Tema kesihatan dan kebersihan merujuk kesempurnaan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar mendapat pendedahan awal berkaitan penjagaan kebersihan dan kesihatan, dan amalan gaya hidup sihat.
Keselamatan
Tema keselamatan merujuk keupayaan murid melindungi diri daripada bahaya ketika berada di pelbagai persekitaran. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid supaya dapat memberi kesedaran agar mengutamakan keselamatan.
Perpaduan
Tema perpaduan merujuk kepentingan hubungan erat yang terbentuk hasil daripada toleransi dalam kalangan penduduk Malaysia. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid dalam usaha memupuk semangat perpaduan.
Kebudayaan, Kesenian dan Estetika
Tema kebudayaan, kesenian dan estetika merangkumi
elemen-elemen budaya yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi adat dan budaya. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar kehalusan seni budaya ini dapat dihayati oleh murid sebagai asas pembentukan jati diri warga Malaysia.
Jati diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan
Tema jati diri, patriotisme dan kewarganegaraan merujuk keupayaan murid menzahirkan keperibadian insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani serta mempunyai semangat juang dan sanggup berkorban demi negara. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid untuk melahirkan masyarakat madani, yang mempunyai semangat kekitaan dan setia kepada negara.
Sains, Teknologi dan Inovasi
Tema sains, teknologi dan inovasi merujuk ilmu pengetahuan yang teratur atau sistematik yang boleh diuji, dibuktikan kebenarannya dan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar dapat melahirkan insan yang berupaya menjana idea untuk menghasilkan sesuatu yang berinovasi.
Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Tema alam sekitar dan teknologi hijau merujuk keupayaan murid menjaga dan mengurus alam sekitar untuk kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan bagi kelangsungan kehidupan generasi akan datang. Tema ini sesuai diajarkan agar murid cinta dan prihatin akan alam sekitar dan teknologi hijau.
Pertanian
Tema pertanian mendedahkan murid perihal asas-asas pertanian secara tradisional dan moden. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang pertanian dan bioteknologi pertanian dalam kehidupan.
Ekonomi
Tema ekonomi mendedahkan murid perihal bidang peniagaan dan keusahawanan dalam menjana pendapatan dan pengurusan perdagangan. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang ekonomi dalam kehidupan.

     CIRI MODAL INSAN (SEKOLAH RENDAH)

Pada akhir peringkat pendidikan rendah, murid perlu mempunyai kemahiran asas untuk kehidupan seharian.  Antara kemahiran asas tersebut adalah seperti berikut:

  • Penguasaan kemahiran asas – membaca, menulis dan mengira
  • Kemahiran menaakul, kreatif dan inovatif
  • Kesedaran kesejahteraan diri (fizikal dan mental)
  • Percaya kepada tuhan, berakhlak mulia dan amalan nilai murni
  • Jati diri dan semangat patriotisme
  • Memahami dan menghayati budaya nasional



            KONSEP KURIKULUM TRANSFORMASI SEKOLAH RENDAH

·        Berteraskan Falsafah Pendidikan Negara (FPN)

·        Berasaskan Prinsip KBSR:

- Pendekatan bersepadu
- Perkembangan individu secara menyeluruh
- Peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid
- Pendidikan seumur hidup



           BENTUK KURIKULUM TRANSFORMASI

Komunikasi    
  • Penggabungjalinan kemahiran bahasa  secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi

Sains & Teknologi 
  • Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik 
  • Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik
  •  Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

Perkembangan Fizikal & Estetika 
  • Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri 
  • Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi

Kerohanian, Sikap & Nilai 
  • Penghayatan amalan agama,  kepercayaan, sikap dan nilai
Kemanusiaan 
  • Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global 
  • Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan

Keterampilan Diri 
  • Pemupukan kepimpinan dan   sahsiah diri melalui aktiviti  kurikulum dan kokurikulum




          KEMAHIRAN NILAI TAMBAH  / 
     ELEMEN MERENTAS KURIKULUM (EMK)

  • Kreativiti dan Inovatif
  • Keusahawanan
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK )


KURIKULUM BERASASKAN STANDARD

Kurikulum Transformasi  Sekolah Rendah digubal berasaskan     standard kandungan dan standard pembelajaran


Standard Kandungan


Standard Pembelajaran


Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.


Satu penetapan kriteria    atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh  diukur bagi setiap standard kandungan.


          
           Contoh Standard Kandungan & Standard Pembelajaran 


Standard Kandungan


Standard Pembelajaran

Bahasa Malaysia
          Mendengar, memahami dan memberi  respon terhadap sesuatu arahan, soalan dan pesanan yang  didengar dengan betul

Bahasa Malaysia
          Mendengar, memahami dan memberikan respons dengan betul secara lisan terhadap pelbagai soalan  bercapah.

Bahasa Inggeris
          Able to express personal response to literary texts

Bahasa Inggeris
            Able to respond to:
          a.  Book covers
          b.  Pictures in books
          c.  Characters
               with guidance

Matematik
          Menama dan menentukan nilai nombor

Matematik
Menamakan nombor hingga 100:
a.  Membilang objek dalam kumpulan.
b.     Menamakan nombor bagi kumpulan  objek sebagai mewakili kuantiti.

0 comments:

Post a Comment